PM Muhyiddin Senaraikan 3 Punca Kerajaan Sukar Benarkan Pengeluaran Akaun 1 KWSP


Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, rakyat dibenar mengeluarkan wang akaun 2 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengurangkan beban ketika berdepan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, ramai rakyat yang mengeluh dan meminta agar pengeluaran daripada akuan 1 dibenarkan. Namun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan sukar bagi kerajaan untuk membenarkan perkara itu.

Ini antara punca mengapa kerajaan sukar untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP.

1. Sukar untuk menimbangkan perkara itu

“Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

2. Kerajaan sudah sediakan berbilion ringgit untuk membantu rakyat

“Memang ramai yang teks saya berkata ‘tolonglah Tan Sri, kami susah.’ Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

3. Rakyat akan hadapi masalah lebih besar di masa hadapan

“Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Koperasi Sungai Terap/Sungai Raya Muar Berhad di Dewan Sri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir di sini, hari ini.


Najib cadang KWSP benarkan pengeluaran ‘one-off’ sehingga RM 10,000 dari akaun 1

Sebelum ini Bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mencadangkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar membenarkan pencarum untuk mengeluarkan maksimum RM 10,000 bagi mengharungi cabaran kehidupan yang wujud berikutan impak penularan w4bak Covid-19.

“Semasa krisis Covid mula melanda, saya pernah cadangkan kerajaan benarkan pencarum keluarkan duit dari akaun 2 KWSP sebagai salah satu usaha membantu rakyat dan merancakkan ekonomi tempatan semasa Covid. Masa itu, kerajaan telah sambut dan melaksanakannya sebagai program i-Lestari dalam pakej Prihatin.”

“Kini ada banyak permintaan untuk kerajaan membenarkan keluaran “one-off” sehingga RM10,000 dari akaun 1 KWSP bagi kegunaan mendesak. Saya rasa permohonan ini boleh dipertimbangkan dengan syarat pemohon juga tandatangan surat aku janji untuk berjanji mencarum semula pengeluaran “one-off” ini dalam tempoh dua tahun akan datang selepas ekonomi memulih – tidak termasuk caruman bulanan biasa,” kata Najib melalui posting Facebook beliau pagi tadi.

“Namun, saya nak nasihatkan bahawa dividen KWSP biasanya lebih tinggi berbanding kadar faedah simpanan bank dan simpanan KWSP adalah amat penting untuk usia tua kita selepas bersara. Sebab itu, jangan membuat pengeluaran KWSP jika tiada kegunaan mendesak,” tambah Najib lagi.

“Saya cadangkan syarat aku janji bukan sebab mahu pencarum bayar balik seperti pinjaman tetapi niat ialah untuk menggalakkan pencarum lebihkan simpanan usia tua sebab dividen KWSP lebih tinggi.”

“Jika tak dapat bayar balik dalam masa 2 tahun, tiada penalti dan KWSP tak boleh buat apa-apa. Cuma untuk memperingatkan pencarum bahawa simpanan dalam KWSP adalah penting dan akhirnya akan menguntungkan pencarum,” jelas Najib.

Muhyiddin: Saya dah jalani 21 kali ujian Covid-19

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa beliau berada di luar ibu negara yang diletakkan di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat hari ini bagi menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri, antara lain bagi meninjau keadaan orang ramai dan perniagaan yang terjejas disebabkan Covid-19.

Beliau berkata ini merupakan antara tugasan yang mesti dijalankannya sebagai pemimpin negara untuk mengetahui sendiri situasi sebenar Covid-19, namun setiap Prosedur Operasi Standard tetap dijaganya.

Malah, katanya, sehingga kini beliau telah menjalani sebanyak 21 kali ujian saringan Covid-19.

“Semalam saya buat test (ujian), sudah 21 kali test. Pergi Sabah balik test, pergi mana balik test, setiap kali masuk parlimen test, mahu jumpa Agong pergi test, mahu mesyuarat kabinet pergi test,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sembang santai bersama masyarakat Cina dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Cina Pagoh, di Muar, hari ini.


Petugas kerja siang malam

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata dalam situasi negara menghadapi gelombang ketiga Covid-19 sekarang, perkara paling utama bagi kerajaan ialah memastikan ekonomi negara kekal berjalan, rakyat dapat terus mencari kerja dan Covid-19 dihapuskan.

Beliau turut membayangkan pendekatan lebih tegas akan diambil sekiranya kes positif Covid-19 terus meningkat, namun memberi komitmen bahawa kerajaan bersedia berbelanja sekiranya perlu untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan kebajikan mereka terjaga.

“Kalau kita terpaksa belanja bilion, mahu jaga rakyat kita akan belanja wang… pasal bagi kita penting untuk penyakit Covid-19 ini kita atasi, saya tak tahu bila, berapa lama lagi, mungkin enam bulan, satu tahun, sekarang sudah tak tahan, kita punya frontliners (barisan hadapan) sudah tak tahan setiap hari kerja siang malam.

“Doktor sudah tak tahan tapi kena kerja, polis yang jaga keselamatan terpaksa kerja, tentera biasa duduk hutan kena ajak keluar bantu, frontliners yang lain pun sudah berapa bulan, tak boleh tahan.

“Jadi macam mana nak buat? Sebab itu yang jadi frontliner kita, jangan tunggu doktor jaga kita, kita jaga kita,” katanya.

Beliau turut menyentuh usaha kerajaan ketika ini dalam mendapatkan vaksin daripada negara-negara pengeluar termasuk dari China dan Eropah, namun semuanya masih dalam peringkat perbincangan, selain mengulangi komitmen China meletakkan Malaysia sebagai keutamaan sebaik mendapat vaksin.

Perdana menteri berkata urusan kerajaan dalam mengurus hal berkaitan Covid-19 berjalan setiap hari, dengan beliau sendiri mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi.

“Komitmen kerajaan Perikatan Nasional, insya-Allah bila kita bentangkan Belanjawan 2021 ini kita ambil kira, cari jalan bantu selesaikan masalah rakyat, cari jalan, kita mesti dapat belanja lebih.

“Sekarang bila belanja lebih, defisit kita sudah naik, tetapi sekarang orang kata defisit naik tak naik, yang penting kita mesti jaga jiwa rakyat kita, nyawa rakyat kita jangan mereka terkorban,” katanya.

– Bernama