Aksi pengawal keselamatan menghiburkan cetus viral

Aksi selamba pengawal keselamatan menyanyi, sambil mengambil suhu badan pengunjung di salah sebuah pusat beli-belah di Bachang di sini, menghiburkan sehingga menjadi viral di media sosial.
Gelagat pengawal keselamatan terbabit, Akmal Ramdan, 23, menjadi viral apabila satu rakaman dikongsi oleh rakannya, dikenali Zarulgriezmann di Instagram, sehingga ditonton lebih 480,000 pengikut.
Jumlah tontonan rakaman itu kemudiannya bertambah 400,000 lagi pengikut apabila pelawak terkenal, Ache Boche turut berkongsi di media sosial, sekali gus bakal mengapai satu juta tontonan.
Fenomena COVID -19 yang melanda dunia ketika ini turut meletakkan Akmal terus dikenali, termasuk tontonan menerusi YouTube di Indonesia yang kini ditonton lebih 40,000 warga negara berkenaan.
Akmal berkata, dia menghibur orang ramai yang ingin masuk membeli-belah dengan caranya sendiri, sekali gus menceriakan mereka yang berada di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka tindakannya menjadi viral dan disukai orang ramai sehingga ada 'peminat' dari Kuala Lumpur yang datang ke situ, semata-mata mahu melihat karenahnya.
"Saya hanya menimbulkan kelainan sahaja, tambahan situasi kebimbangan orang ramai berkaitan pandemik COVID-19 mendorong saya untuk menceriakan mereka.
"Ramai tersenyum, gembira dan teruja, malah ada yang merakamkan gambar kenangan bersama saya, selain ada yang mengambil video untuk simpanan peribadi," katanya yang berasal dari Bukit Beruang di sini.
Namun, tidak ramai yang mengetahui Akmal sebenarnya adalah artis dan turut memiliki album single yang mendapat sambutan hangat di YouTube.
Akmal juga memperolehi banyak permintaan mengadakan persembahan pentas sepanjang dua tahun lalu, selain turut mendapat jemputan di beberapa saluran televisyen dan pernah berlakon.
Bagaimanapun, malangnya dia mengakui, ditipu bekas pengurus yang menyebabkan kerugian wang tunai yang banyak dan memberi impak buruk kerjayanya.
Ia ditambah lagi dengan pandemik COVID 19, sekali gus membataskan pergerakan seni sehingga mendorong Akmal bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak April lalu, bagi menampung pendapatan harian.
Justeru, Akmal mahu kembali bangkit sebagai artis selepas mengumpul wang sebagai pengawal keselamatan dan yakin, mampu untuk kembali mendapat sambutan ramai menerusi bakat dimilikinya.
Akmal mengambil suhu badan pengunjung di salah sebuah pusat beli-belah di Bachang. - Foto ihsan Akmal Ramdan